Kesayangan ♥ ♥ ♥

Wednesday, February 27, 2013

Wang Hantaran


Wang hantaran sebenarnya ialah satu hadiah ikhlas oleh pihak pengantin lelaki kepada pihak perempuan yang telah menjadi budaya dalam masyakat kita. Dari itu, ia tidaklah diwajibkan seperti mas kahwin yang diberi oleh suami kepada isterinya dengan sebab perkahwinan.

Sayangnya, kini wang hantaran telah menjadi kemuncak sesuatu perkahwinan yang sepatutunya ialah akad nikah. Ini disebabkan, masyarakat telah mengiktirafkannya sebagai darjat ‘kemampuan' pihak pengantin lelaki dan ‘kehebatan' sesuatu majlis perkahwinan itu.

Semakin tinggi jumlah wang hantaran yang diberikan maka semakin gah kedudukan mempelai sekeluarga di mata masyarakat. Ini tidak secara langsung menimbulkan perasaan riak dan menunjuk-nunjuk dalam masyarakat sehingga menghilangkan sifat sederhana yang dituntut agama.

Kalau benar-benar berkemampuan, tidak ada salahnya untuk mengadakan majlis secara besar-besaran dan meletakkan nilai wang hantaran yang tinggi. Akan tetapi jika sebaliknya, ia akan menjadi satu bebanan dan boleh menyebabkan ada yang terpaksa berhutang atau mendapatkan wang melalui cara yang salah, seperti rasuah dan pecah amanah. Maka, adalah lebih afdhal mengadakan kenduri dan meletakkan jumlah hantaran yang sederhana mengikut kemampuan untuk kesejahteraan semua pihak yang terlibat.

...masyarakat telah mengiktirafkannya sebagai darjat ‘kemampuan' pihak pengantin lelaki dan ‘kehebatan' sesuatu majlis perkahwinan...

Dalam hal ini masyarakat terutama ibubapa perlu lebih bertanggungjawab dan tidak terlalu mengikut trend yang menyimpang daripada matlamat sebenar dalam soal nikah kahwin. Mereka juga perlulah sedar, perkahwinan yang dibina adalah untuk jangka panjang. Bergolok dan bergadai hanya untuk satu majlis perkahwinan akan membawa kemudaratan yang boleh merosak keharmonian rumah tangga.

Masyarakat kita perlu mengubah minda terhadap wang hantaran kerana dalam jangka masa panjang, hantaran yang tinggi akan mengurangkan jumlah individu yang ingin berkahwin dan mendorong kepada gejala sosial seperti bersekedudukan. Pendek kata, ukurlah baju di bahu sendiri dan tepuk dada tanyalah selera.

Renung-renunglah:
"Perkahwinan bukan masa tunjuk keegoan tetapi penyatuan dua jiwa."
- Dr Rusinah Siron

No comments:

Post a Comment